Kadangkala Ujang perlukan masa untuk bersendiri. Sampai suatu tahap Ujang dapati jika terlalu lama hidup dalam sela masa yang sama akan membuatkan minda Ujang kebas dan jiwa Ujang rimas.Bila berseorangan Ujang lebih mudah menelan suasana. Tiada desakan untuk mengikut tatacara sesiapa. Waktu yang dilalui bagai bayang yang tiada induknya. Segala yang Ujang hadapi tidak berat sebelah akan pemerhatian orang lain. Ujang lebih lancar membuat penafsiran Ujang terhadap malam yang tenang, penghakiman akan manusia yang lalu lalang, pengriwayatan pada persekitaran yang bising, bisu, tidak pasang dan gersang.
Kadangkala Ujang merasakan bila Ujang bersendiri Ujang berjaya mencapai paras keseimbangan mutlak dalam jiwa Ujang. Jasad yang tidak dibelenggu gerak, naluri yang tidak diikat pada sebarang kehendak atau tanggungjawab, kecuali pasti, diri Ujang sahaja.Bolehlah disamakan tatkala Ujang tertinggal dari pergaulan rakan-rakan, Ujang menakluki inzalnya kepuasan hidup ini, tolak sari dunia tambah kewujudan existentialisme. Ujang bersorak, bertepuk tangan dan mendodoi alunan musikal Ujang. Umpama gemilang yang memberi tenaga kepada semangat Ujang. Bolehlah juga dikatakan keadaannya bak menggubah lagu evergreen Ujang sendiri yang mengasyikkan, pada susunan melodi, irama dan bait-bait puitis liriknya.
Kerapkali juga di saat-saat itu, Ujang akan menelaah perkara yang lepas dan menilai waktu yang datang. Cebisan-cebisan suasana ini akan direkonstruksikan menjadi memori maya dalam minda Ujang.Mengapa ia maya, kerana gambaran itu tidak mampu Ujang luahkan pada tatapan umum seperti sebuah filem. Walaupun pernah diurai seperkara demi seperkara di sini, dengan niat berkongsi akan isihati, namun Ujang kira ia tidak sama. Mungkin tidak janggal dikatakan hanya suku sahaja bahagian yang termampu Ujang cerita.
Ada banyak pemerhatian, ada beribu projeksi harapan, ada seluruh primitivisme yang Ujang sendiri tidak arif dan ada kisah-kisah manusia yang rucah dan berudah, tersimpan dalam jemala fikir Ujang. Memikirkannya, Ujang kerap tersenyum hingga Ujang terketawakan diri Ujang sendiri. Mungkin tidak aneh juga jika Ujang dakwa Ujang sebenarnya lebih gemar meladani tabiat peribadi Ujang pada status tertentu. Lebih senang, tidak rumit, selesa dan tidak ada hubungan luar, mengendong seberat kebebasan dan menjunjung sehalus kenaifan, ibarat keadaan pascamati dan Ujang dihidupkan semula. Ujang bagai mencipta lagu baru, bertepuk tangan, menyanyi dan bersendiri.Huhuhu.........
Posted by Ujang_MD ::
11/05/2006 10:53:00 AM ::
0 Comments: