Jika hitam telah pun tertulis, maka hitamlah hidup Ujang kini, namun jika putih jadi hamparan, hanya syukur yang Ujang panjatkan, hari terus berlalu, usia makin mengejar diri Ujang, dan Ujang...terus berlari mencari arah mana untuk Ujang diam menilai diri. Pernah Ujang ke kanan, tersungkur Ujang di daratan, pernah Ujang ke kiri, tenggelam Ujang di lautan, hajat hati mahu terbang tinggi, tangan pula tak mencecah awan. Sudahnya, Ujang masih di sini, terawang-awangan mencari haluan. Bagai membuang masa, bagai insan buta biar ada cahaya di depan mata, laksana insan pekak yang hanya dengar sebelah telinga, juga seumpama insan bisu yang berbicara bila perlu...itulah ibaratnya diri Ujang, kadangkala yang jadi insan istimewa. Tak siapa simpati kerana bukan itu yang Ujang cari, tak siapa merasa biar Ujang yang tersiksa.Merenung jalan kehidupan yang Ujang tinggalkan, salahkah Ujang dengan pengalaman? Terhumban di sini hanya kerana seorang insan dan mungkin juga Ujang yang tiada pegangan. Saat ini dia terus bahagia dengan hidupnya, saat ini Ujang juga bahagia dengan bayangan Ujang sendiri, sesekali tersenyum mengubat sepi, kadangkala menangis mencurah hati namun tidak pada siapa sekalipun, kerana tiada yang menemani, kerana tiada siapa di sisi. Ujang berdiri di cermin diri. Melihat sekujur tubuh lelaki . Ujang bangga dengan lelaki ini, mata berkaca bukan intan tapi bawa maksud cermin kehidupan. Ujang dan lelaki ini berpegangan tangan, berjalan, berpimpinan tapi belum bertemu sempadan.Pernah cermin itu Ujang pecahkan kerana mahu lelaki itu wujud dalam realiti. Tapi dia hilang sesudah kaca berselerak di lantai usang. Darah di tangan bertukar warna, merah ke putih, bingung Ujang dibuatnya. Mahsuri darahnya suci tapi Ujang noda dan dosa tak terperi. Titik-titik darah itu jatuh menyembah bumi, hilang dibawah terik mentari. Layu. Lelaki itu hilang tak sudi bersua dengan Ujang lagi. Ujang dirikan cermin baru dan lelaki itu muncul disisi Ujang. Senyum Ujang dan senyumnya jadi satu. Tak akan Ujang pecahkan lagi, biarlah Ujang terus di sini, melihat wajahnya yang menyimpan kisah pilu dan sendu dan di situ juga ada senyumnya yang bercerita tentang diri Ujang.Semalam pastinya dah Ujang tinggalkan. Esok Ujang akan terus merantau, mengenali setiap manusia yang Ujang jumpa. Yang tak akan Ujang percaya pada cerita-cerita mereka, manusia yang senyumnya manis lebih dari gula. Esok juga adalah hari pertemuan, esok juga adalah hari perpisahan. Sampai bila? Sampai bila-bila.Andai takdir itu milik Ujang, Ujang terima segalanya.
Posted by Ujang_MD ::
4/24/2007 07:22:00 AM ::
0 Comments: