"SoMeTiMeS oUr LiFe iS FiLLeD WitH cOLoUrS, aT tImEs, wE LiVe In TeArS"

UjangMD FeaT Makcik ZainunG


Home Games Download Songs Lyrics 18SX TV(Live) PERMINTAAN LAGU FORUM Blogger Kick Start Template


Wednesday, May 23

BERTANYA??

Entah kemana hilangnya keceriaan. Terkadang sukar untuk menentukan sikap sendiri. Mungkin juga keadaan yang menjadikan Ujang begini. Terlalu banyak perkara yang terpendam di jiwa, tidak terluah dengan kata. Sekali perasaan terguris, mungkin pedihnya mudah dihakis. Tetapi bila berkali-kali ia dicalar, bisanya akan terus menjalar dan sukar untuk pulih kembali pada situasi asal.Betapa hidup Ujang ini tidak dapat lari dari dikelilingi oleh insan-insan hipokrit yang hanya tahu mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri. Beringatlah bahawa kekadang segelintir teman yang di harapkan dan sering bergelak ketawa bersama boleh menjadi sengat yang paling berbisa.
Kekadang Ujang cuba untuk memulihkan keadaan, tapi segalanya tetap hambar. Niat yang baik disalah ertikan. Kekadang pula ada dalang yang menjadi penghalang, lebih tepat lagi seperti gunting dalam lipatan. Rela menjadi penghasut demi melihat keretakan sesebuah perhubungan. Itulah dia segelintir dari sikap manusia yang sememangnya tidak senang melihat kegembiraan yang ada pada orang lain.
Ya..Ujang hanyalah watak di pentas kehidupan yang penuh dengan sandiwara. Berbagai kisah silih berganti, itulah resam dunia. Ada ketikanya Ujang gembira, adakalanya Ujang dirundung duka nestapa. Emosi juga turut berubah dengan situasi yang berbeda. Kekadang Ujang boleh menjadi seorang yang begitu ceria dan periang. Dalam situasi lain pula Ujang lah seorang insan yang paling pendiam dan mungkin juga seorang pendendam.
Ahh..kekadang Ujang malas untuk memikirkan perkara yang sebegini, tetapi tetap terfikir juga. Bosan dan benci bercampur aduk. Terkadang Ujang ingin lari dari semua ini, tapi kemana ya? Tiada jawapan yang hadir di benak fikiran yang kontang ini.


Kepingin benar Ujang untuk melontar bicara di laman ini sekali lagi, namun kotak fikiran yang sarat telah membuatkan diri ini jadi "bingung". Mungkin kerana terlalu banyak yang bersarang di ruang kepala sampaikan tidak tahu bagaimana untuk memulakan segala luahan yang ada. Tanpa sedar, mata terpejam lena, minda diulit mimpi melayang jauh entah kemana walaupun hanya terduduk di kerusi yang tidak seberapa empuknya. Barangkali keletihan atau jua mengantuk yang teramat. Kalau sudah mengantuk giler dan mata pun tidak dapat dibuka, apa yang harus dibuat untuk mengatasinya..?? Entah ler... kenapa Ujang suka sangat timbulkan persoalan?

Saat diri di landa sepi, kebosanan menjerat diri, lalu tercipta sebuah coretan yang lahir dari hati. Bila diri dilamun resah, ada hati berlagu gundah, komunikasi bisu di sini sedikit sebanyak dapat memberi ruang dan ketenangan pada diri. Adakalanya bila terbaca semula catatan sendiri, perasaan malu pula menyelinap diri. Malu yang teramat. Tapi tetap dicuba jua untuk menepis segala perasaan itu kerana hanya diri sendiri yang tahu bahawa Ujang ingin menulis apa yang Ujang mahu.Dan itu jua adalah satu kepuasan.

Bila pikir tentang bahagia seronok sekali bukan?? Ujang selalu terfikir akannya. Alangkah bertuah empunya diri seandai dapat mengecapinya. Ya..semua orang menginginkannya. Tapi apakah sebenarnya erti sebuah kebahagiaan itu, adakah ianya terletak pada kuasa, harta atau cinta semata? Apakah tanpa semua itu manusia tidak mungkin bahagia? Bagi Ujang sendiri, kebahagiaan itu adalah terletak pada ketenangan, kedamaian dan kelapangan jiwa. Selagi jiwa bercelaru dan bergelora setiap ketika, selagi itulah kebahagiaan tidak akan menjadi milik kita.

Telah Ujang cuba untuk mencari segalanya itu, namun ternyata Ujang masih tidak mampu menemuinya. Terlalu banyak perkara yang sentiasa bermain diminda. Terlalu banyak juga perkara yang bergelodak dalam jiwa. Kekadang terlalu sukar untuk melelapkan mata di kala malam kian menginjak. Adakalanya hanya mata yang terpejam tapi fikiran terus hanyut melayang mengenang pelbagai persoalan. Sesungguhnya pada yang Esa tempat memohon petunjuk dan seharusnya redha. Namun Ujang sebagai manusia, terkadang tidak dapat lari dari terus meratapi nasib yang melanda.

Posted by Ujang_MD :: 5/23/2007 08:26:00 AM :: 0 Comments:

Post a Comment


Best Malaysian Sites Page Rank Checker

© UjangMD FeaT Makcik ZainunG 2009 - Template by UjangMD.