"SoMeTiMeS oUr LiFe iS FiLLeD WitH cOLoUrS, aT tImEs, wE LiVe In TeArS"

UjangMD FeaT Makcik ZainunG


Home Games Download Songs Lyrics 18SX TV(Live) PERMINTAAN LAGU FORUM Blogger Kick Start Template


Thursday, May 24

RATAPAN

Setiap hari Ujang pasti akan melalui perkara yang sama. Bangun di subuh hari membersihkan diri dan setelah semuanya selesai Ujang akan tergesa ke tempat kerja untuk menyempurnakan tugas yang menanti. Dari situlah keberhasilan Ujang meraup rezeki untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan yang penuh ranjau ini. Setiap hari juga Ujang didatangi dengan pelbagai ujian. Memang perit dan rumit untuk menghadapinya. Hanya ketabahan dan kesabaran yang menjadi tunjang. Tawakkal dan redha itulah penenang.
Ya..Ujang hidup di dunia ini hanyalah untuk sementara dan boleh diibaratkan juga sebagai suatu tempat persinggahan sebelum Ujang sampai ke tempat yang dituju. Bekalan perlu dicari sebanyak mungkin untuk dibawa bersama dengan harapan memperolehi tempat yang baik untuk tinggal selamanya di alam kekal sana. Insya-Allah.
Ujang selalu terfikir akannya. Apakah sudah cukup bekalan dalam mencari jalan menuju keredhaanNya? Sesungguhnya diri Ujang ini masih meraba dalam mencari sinar kasih-Nya. Terlalu banyak yang perlu dicari untuk kembali menemui-Mu wahai Tuhanku.
Bila malam semakin larut lain pula cerita Ujang. Bulan begitu indah sekali bercahaya menyuluhi alam. Kalaulah diri Ujang ini punyai sayap, ingin rasanya terbang melayang ke sana. Mungkin jua titisan embun jantan semakin rakus luruh membasahi bumi, namun masih begitu sukar untuk melelapkan mata di kala malam melabuh tirai ini.
Aduhai...cerita silam bertamu lagi untuk kesekian kalinya. Hadirnya menderu bersama desir bayu malam. Sukar untuk diusir walau dicuba berkali-kali. Datangnya tidak diundang dan perginya terlalu diharapkan kerana sememangnya ia terlalu perit untuk dikenang. Cinta itu terlalu berharga. Bertahun dipupuk bersama, tetapi dalam sekelip mata punah di bawa arus yang melanda. Ah...teramat rapuhnya nilai kasih dan kepercayaan yang diharapkan. Terlalu pedih rasa hati Ujang ini bila keikhlasan di ragui. Betapa perit bila diri Ujang dijadikan bahan fitnah pada sebuah kejujuran yang tak bertepi. Aduh sesak nafas ini dibuatnya.
Sebuah kehidupan yang nyata. Kebenaran tidak begitu mudah untuk dibuktikan walau diratapi dan ditangisi dengan airmata darah sekalipun. Hanya Tuhan yang tahu segalanya.Sesungguhnya siapalah Ujang untuk menidakkan segala takdir yang telah tersurat itu. Akhirnya Ujang terpaksa akur serta pasrah walau diri parah teraniaya. Biarlah Tuhan saja yang membalas segalanya.
Terkadang terdetik jua difikiran, alangkah baiknya seandai kisah kehidupan ini adalah seperti lakonan drama di pentas layar. Segala-galanya akan berakhir dengan episod kebenaran dan kebahagiaan. Nun di angkasa, bintang-bintang begitu cantik berkedipan. Tetapi hati ini tetap suram. Mengeluh dan gelisah dalam menanti mata terpejam. Kalaulah dapat dilaungkan pada bintang-bintang itu betapa hati meresah di kala ini. Malam semakin dingin…begitu jua hati Ujang ini..membeku sedingin salju..

Posted by Ujang_MD :: 5/24/2007 08:05:00 AM :: 0 Comments:

Post a Comment


Best Malaysian Sites Page Rank Checker

© UjangMD FeaT Makcik ZainunG 2009 - Template by UjangMD.