Tiada apa yang ingin Ujang catatkan di sini cuma sekadar ingin menenangkan hati. Di sini segala kedukaan dapat Ujang pancarkan, segala yang mendukacitakan mampu berubah kepada keceriaan. Masa yang ada Ujang renungkan seketika perjalanan lalu yang telah Ujang tempuhi, seakan bersalah pada diri sendiri. Andai ada satu permintaan yang mampu Ujang perolehi dengan kuasa keajaiban, pastinya Ujang pohon untuk kembali pada usia keanak-anakan. Di sanalah Ujang mengorak langkah mencipta diri Ujang sendiri. Namun Ujang tahu impian itu adalah angan-angan kosong yang tak mungkin Ujang perolehi. Bukan Ujang kesal dengan kehidupan yang Ujang punya sekarang ini namun Ujang mahu menjadi lebih baik dan baik, sekurang-kurangnya menjadi yang terbaik untuk diri Ujang sendiri. Ujang kasihankan diri Ujang, selama ini Ujang telah banyak mengabaikan diri Ujang hanya kerana melihat insan-insan di sekeliling Ujang. Dan bila sampai pada satu tahap kehidupan lalu Ujang mula sedar bahawa Ujang telah tersasar jalan. Ujang sendiri tidak mengetahui sebanyak mana usia Ujang yang tertinggal namun dengan baki inilah Ujang cuba memperbaiki segala keadaan, jauh dari dalam sudut hati Ujang berdoa akan ada masa yang secukup dan sebaiknya untuk Ujang melangkah sehingga Ujang tahu tanggungjawab yang tergalas ini langsai sudah. Bukan mudah untuk mengisi segala kekosongan yang ada dalam jiwa tapi Ujang mampu berusaha andai itu yang Ujang mahukan. Kalau diingatkan kembali telah banyak masa yang Ujang biarkan kosong tak terisi, sayangnya detik yang Ujang biarkan begitu saja. Sebaik langkah, hargailah apa saja yang ada di dalam kehidupan ini, semuanya bererti, ianya tak diciptakan sekadar memenuhi keinginan malah ianya adalah pelengkap kehidupan! Yang pastinya hidup Ujang di dunia tidak bersendiri. Jika kekosongan yang Ujang rasakan, itu adalah khayalan. Ujang sebenarnya punya ruang untuk menghayati segala yang terindah dalam kehidupan cuma Ujang yang menyekatnya tanpa Ujang sedari. Ujang sedar Ujang hanya manusia biasa yang hanya mampu berusaha dan memohon dariNya untuk melalui kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini. Mujurnya Ujang masih punya azam yang utuh biarpun ada kalanya Ujang bagaikan insan lumpuh tapi Ujang percaya semua ini berlaku punya musabab yang tersendiri. Sepanjang hidup yang pernah Ujang lalui, dalam tempoh itu terlalu banyak kejadian yang berlaku hinggakan ada ketikanya Ujang bertanya pada jiwa 'inikah dunia?'. Tiap hari Ujang pasti belajar tentang sesuatu yang baru. Ujang juga banyak belajar dari membaca. Sebenarnya dunia blogging ni banyak mengenalkan Ujang dengan pelbagai jenis manusia yang punya pengalaman masing-masing. Ujang jadi teruja dengan setiap pengalaman baru yang Ujang baca, sekurang-kurangnya ada yang mampu Ujang jadikan kekuatan untuk Ujang teruskan kehidupan. Kebelakangan ini Ujang banyak belajar tentang sikap manusia. Kekadang Ujang serius nak ketawa bila melihat manusia yang sanggup berpura-pura semata-mata untuk menegakkan kebenaran diri padahal yang terbukti depan mata yang mereka ini sememangnya bersalah, satu lagi yang jenis memutarbelitkan kata-kata, akhirnya yang terjerat diri sendiri, kesian sangat! Andai diberi kuasa, Ujang mahu menjadi manusia yang paling jujur, berkongsi segala apa yang ada di dalam jiwa namun bukan semua yang mampu Ujang suratkan di sini. Medan ini terlalu indah untuk Ujang, segala yang kusut Ujang leraikan di sini namun bukan semua yang Ujang warkahkan di sini dapat dipandang positif, Ujang sedari tentang itu. Yang paling nyata, Ujang puas kerana di sini Ujang mampu meredakan segala kusut, sekurang-kurangnya sebahagian dari cara melepaskan tekanan. Untuk semua yang barangkali 'tersinggah' di 'blog' ini, terima kasih kerana kalian sudi membaca segala apa yang tersirat di jiwa Ujang.
Posted by Ujang_MD ::
5/03/2007 08:24:00 AM ::
3 Comments: