"SoMeTiMeS oUr LiFe iS FiLLeD WitH cOLoUrS, aT tImEs, wE LiVe In TeArS"

UjangMD FeaT Makcik ZainunG


Home Games Download Songs Lyrics 18SX TV(Live) PERMINTAAN LAGU FORUM Blogger Kick Start Template


Tuesday, May 29

SUNYI

Tatkala desir rindu menghembus lembut membelai sanubari bisu, hanya bahasa diam penuh mistik menyelongkar ke segenap ruang hati lantas mengalunkan irama lagu jiwa yang sayu.Benarlah, sepi itu indah walau kadang meresahkan. Sunyi itu mengasyikkan. Senyap itu sesungguhnya mendamaikan. Diam itu bukan kerana kebisuan tetapi ketenangan dalam mencari sinar Nur Kasih-Nya. Percayalah, sinar itu yang akan menemani kita pulang.
Hati yang berlagu pilu, pantas saja mengajak diri Ujang menuju ke jendela malam lalu mengheret pandangan mencari sesuatu di dada langit. Namun yang terlihat hanyalah kelam. Tiada indah senyum bulan atau kerlip sinar bintang yang bergemerlapan. Ah..kecewa sekali.Desir angin yang menyapa seakan membawa sama rintihan ke persada yang entah ke mana. Serasa diri hanyut seketika. Benak yang gersang jauh melayang mencari sesuatu yang masih tiada jawapan.
Diri Ujang dilanda kebingungan, buntu dalam mencari sebuah kepastian. Nun di langit malam, mata masih melerek menantikan sinar rembulan dan kerlip si bintang. Namun hampa lagi. Barangkali ia sedang menangis kerana turut merasai rentetan jiwa yang mendesah sukma pencintanya. Atau, mungkin jua sudah jemu dengan keletah manusia yang bernama Ujang?
Ah..Biarlah!Malam yang kian larut begitu hening dan dingin sekali. Namun masih begitu sukar untuk terlena. Resah pilu menguasai diri. Tidak terluah dengan kata-kata, hanya bicara bisu yang berlegar meruntun kalbu. Dan jeritan sanubari makin hilang suara halusnya kerana telah letih menanggung segala yang melanda.Hanya kepada-Nya memohon sembah. Moga tetap ditabahkan hati Ujang ini.

Posted by Ujang_MD :: 5/29/2007 11:00:00 AM :: 3 Comments:

Post a Comment


Best Malaysian Sites Page Rank Checker

© UjangMD FeaT Makcik ZainunG 2009 - Template by UjangMD.